20 September 2011

Taubat atau Jemu?

“Aku muda-muda dulu bolehlah, sekarang dah tua tak larat dah”.
“Puas dah dulu masa muda buat, sekarang dah berumur ni berhentilah.. Bagi can kat orang muda pulak”.
Ini adalah di antara ayat-ayat tanpa pemahaman yang keluar dari mulut orang-orang yang menghentikan maksiat mereka atas dasar jemu, puas, tak larat dan sebagainya. Sedangkan apa yang kita sedia maklum bahawa maksiat-maksiat itu perlukan kepada taubat. Dosa-dosa memerlukan kepada permohonan ampun.

Taubat

Menurut Ibn Qayyim Rahimahullah : Menyesali dosa-dosa perlakuan masa lalu, meninggalkan daripada terus melakukan di masa kini serta berazam untuk tidak melakukannya pada masa hadapan.

Syarat Taubat :

1. Islam - Tidak ada taubat bagi non-muslim. Taubat bagi non-muslim adalah dengan memeluk Islam.
2. Ikhlas kerana Allah SWT - Barangsiapa yang bertaubat kerana Allah SWT, maka sahlah taubatnya.
3. Meninggalkan maksiat - Maksiat mendatangkan dosa, bagaimana mungkin orang bertaubat daripada dosa masih tetap melakukan maksiat.
4. Tahu dan kenal akan dosa-dosanya - Dengan mengetahui apakah dosa-dosanya maka seseorang akan tahu apakah perkara/dosa yang dia ingin bersihkan diri daripadanya.
5. Menyesal - Menyesali akan dosa-dosanya yang telah lalu.
6. Kembalikan hak orang yang dizalimi - Sama ada berbentuk material seperti mencuri harta benda atau sebaliknya seperti perlakuan mengumpat dan sebagainya.

Bila?

Jangan melengah-lengahkan taubat, kerana kita tidak tahu bila nyawa akan di ambil oleh pemilik hakikinya. Pintu taubat sentiasa terbuka melainkan :

1 – Bila nyawa sudah sampai di halkum (saat kematian).
2 – Matahari terbit dari barat.

Oleh itu saudara-saudara, Bertaubatlah dan perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT sementara waktunya masih ada. Juga penting bagi kita untuk benar-benar meninggalkan maksiat itu atas dasar taubat dan bukannya sebab tidak berpeluang, jemu, sudah puas dan sebagainya. Amat dikhuatiri andai percakapan kita itu tadi termasuk pula ke dalam golongan mereka yang berbangga dengan maksiat. والله أعلم

0 pengkritik:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Apa sajalah, asalkan ilmu! Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template