Awal bulan Mei nanti, PPD Kuala Langat akan adakan pertandingan bercerita. Nampaknya, bercerita tahun ini ada sedikit perubahan format pertandingan. Katanya, ada dua bahagian. Sebelum ini, murid-murid hanya ditugaskan untuk bercerita berdasarkan cerita yang telah dipilih. Namun, pada kali ini, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menambah satu bahagian lagi iaitu bercerita secara spontan. Bagaimanakah, apakah, adakah...kita cerita kemudian. Apa yang penting, kita layan dulu cerita di bawah ini.
Dalam sebuah hutan, ketika musim panas, segerombolan semut sedang berjalan beriringan sambil membawa makanan di atas kepala mereka. Semut-semut itu terlihat begitu kompak dan sangat mesra di antara satu sama lain.
Ketua mereka adalah seekor semut gagah yang berjalan paling hadapan. Dia begitu cekap memberi arahan kepada semut-semut di saat membelok atau pun melangkah, agar makanan yang dibawa mereka tidak jatuh ke tanah.
“Satu! Dua! Kiri! Kiri!” Sang ketua memberi arahan.“Awas, di depan ada tebing sungai!” katanya lagi sebagai peringatan.Semut-semut yang lain segera bersiap dan berjaga-jaga agar makanannya tidak terjatuh ke dalam sungai.Rombongan semut sentiasa patuh mendengar arahan daripada ketua mereka sehinggalah mereka tiba ke sarang. Setelah meletakkan hasil bawaan masing-masing, mereka akhirnya berpisah untuk mengerjakan tugas-tugas yang lain.
Dalam koloni semut itu, ada seekor semut muda yang begitu rajin dan baik hati. Semut muda itu begitu tertarik dengan dunia dari luar sarangnya. Rasa ingin tahunya tentang dunia di luar sarangnya, begitu besar. Lantas, dia memberanikan diri meminta izin daripada sang ketua untuk keluar dari sarang itu untuk seketika.
“Ehem...maaf, Tuan Ketua,” kata semut muda itu terbatuk-batuk.“Apa, boleh aku pergi keluar untuk bersiar-siar? Aku berjanji, aku tidak akan pergi lama,” katanya lagi.Sang ketua semut itu menatap dengan penuh rasa sayang kepada semut muda itu.“Anakku, jika engkau ingin pergi berjalan-jalan, aku tidak akan melarangmu, kata ketua semut sambil menepuk-nepuk bahu semut muda.
Malah, secara bijaksana, ketua semut juga menasihati semut muda itu supaya sentiasa berhati-hati dengan suasana dunia luar yang luas dan kejam. Alangkah senangnya hati semut muda itu apabila mendengar perkenan ketuanya. Tanpa berlengah lagi, semut muda itu segera meminta kebenaran untuk berangkat dengan penuh semangat dan sukacita.
Kebetulan tidak jauh dari sarang semut itu, terdapat mata air yang jernih. Semut muda teringin benar menikmati keindahan suasana di situ. Lantas, semut pun berjalan menelusuri jalan yang lembab. Beberapa kali juga dia perlu memanjat dahan pokok dan rerumput. Semut muda itu berjalan tanpa mengenal lelah hingga akhirnya dia berasa sangat dahaga.
Semut muda perlu segera mendapatkan air untuk diminum. Dari kejauhan, mata air yang jernih itu makin menggamit rasa dahaganya. Tanpa membuang masa, semut muda segera berjalan menuju ke arah mata air yang sejuk itu.
Setelah tiba di mata air, semut muda kebingungan kerana dia mendapati kedudukan mata air itu lebih tinggi dari tanah yang dipijaknya. Tetapi semut muda tidak mati akal. Dia naik perlahan-lahan ke atas sebatang rumput yang daunnya menjulur ke arah mata air itu. Saat dia hampir saja mencapai puncaknya, tiba-tiba semut muda tergelincir dan terjatuh ke dalam mata air. Semut muda berusaha untuk menyelamatkan diri, tetapi gagal kerana dia tidak pandai berenang. Dia mula panik dan hampir kelemasan.
Mujurlah nasibnya agak baik. Dalam keadaan terkapai-kapai, semut muda terpandang akan sehelai daun yang baru gugur berhampiran dengannya. Semut muda itu segera mencapai daun itu. Sebaik berjaya menaiki daun, semut muda memandang ke atas pokok, arah di mana daun itu gugur. Dia melihat seekor burung merpati yang tersenyum dan lega melihat dirinya selamat. Semut muda itu menatap wajah merpati itu dengan penuh rasa terima kasih.
Selepas itu, burung merpati pun terbang ke arah daun itu dan mendorong dengan paruhnya agar daun tersebut bergerak ke pinggir mata air.“Hai burung merpati, terima kasih atas pertolonganmu hari ini. Jika bukan kerana engkau, aku sudah mati tenggelam tadi,” kata semut muda itu sambil berusaha untuk turun dari daun itu menuju ke tanah.
Burung merpati menjawab “Sama-sama, semut. Apa yang sedang kau lakukan di tempat ini?” tanya merpati.Semut pun mula bercerita tentang hasratnya untuk melihat dunia luar serta pengembaraannya sehingga ke saat dia diselamatkan oleh burung merpati. Namun, selepas kejadian itu, semut itu berhasrat untuk terus pulang ke sarangnya kerana hari sudah senja.
“Baiklah, selamat tinggal,” kata merpati. Semut muda juga mengucapkan selamat tinggal sebelum berlalu pergi.Semasa semut muda dan merpati sedang berbual-bual sebelumnya, mereka tidak menyedari bahwa ada bahaya yang sedang mengintai.Seorang pemburu sedang mengarahkan senjatanya ke arah burung merpati dan bersiap untuk menembaknya. Bagaimana pun, kelibat pemburu itu dapat dikesan oleh semut muda sewaktu dalam perjalanan pulangnya. Melihat kejadian itu, semut muda segera berlari ke arah pemburu tersebut. Dengan pantas dia memanjat but sang pemburu dan masuk ke dalamnya.
Dia menggigit kaki pemburu itu dengan sepenuh hatinya. Pemburu itu menjerit kesakitan lalu segera melemparkan senjatanya ke bawah untuk menanggalkan butnya. Ia seterusnya memberi kesempatan kepada semut muda untuk keluar dari but sang pemburu lalu pergi meninggalkan tempat itu.
Jeritan pemburu itu telah mengejutkan burung merpati. Sebaik memandang ke bawah, dia melihat kelibat sang semut yang berjaya melarikan diri dari pemburu itu. Dia segera meluru mendapatkan semut muda dan menerbangkannya ke tempat yang selamat.
“Terima kasih semut, kau sudah menyelamatkan nyawaku hari ini,” kata burung merpati.“Sama-sama burung merpati. Tadi, engkau juga menyelamatkan nyawaku,” kata semut muda. Akhirnya, mereka berdua menjadi sahabat baik.
P/S: Sesiapa berminat untuk jadikan bahan cerita pertandingan, ambillah!
4 pengkritik:
Dah kena reject bagi kt orang.. Ke? Hehe...
X pe...bkn sbb cerita ni tak bagus, tp sbb ia dlm kategori cerita haiwan je.
cerita asli ke ni...
cerita asli ke ni...
Catat Ulasan