28 Mac 2011

Munculkah Khalifah?

Dunia menyaksikan kejatuhan 2 orang pemimpin negara Islam mutakhir ini. Bermula dengan revolusi di Tunisia yang menjadi punca kejatuhan Zine El Abidine Ben Ali, menular ke Mesir hingga menumbangkan Muhammad Hosni Sayyid Mubarak dan terus merebak api revolusi tersebut ke beberapa negara Islam-Arab yang lain seperti Libya, Yemen dan Oman. Ada yang menamakannya sebagai teori domino.
Kedua-dua pemimpin tersebut telah memerintah negara masing-masing dalam satu tempoh yang cukup lama. Zine El Abidine Ben Ali telah mentadbir Tunisia bermula 7 November 1987, manakala Hosni Mubarak pula telah mula memerintah Mesir seawal 14 Oktober 1981. Dengan jawatan tertinggi dalam negara serta kuasa yang mutlak, mereka masih belum upaya membebaskan rakyatnya dari belenggu kemiskinan.
Tiadakah sumber atau hasil negara yang boleh menjana ekonomi? Mesir yang terkenal dengan gelaran Ummu al-Dunya (Ibu Dunia) telah mengalami proses kemajuan lebih awal berbanding Malaysia. Universiti tertua juga terdapat di dalamnya, tetapi mengapakah kemajuan tersebut tidak berterusan? Namun bukan dari sudut itu yang ingin saya katakan, tetapi persoalan mengapakah terlalu sukar melepaskan jawatan yang disandang dengan tempoh yang begitu panjang?
Apakah kerana matlamat memajukan negara yang masih belum tercapai menjadikan mereka enggan berundur? Masa yang begitu panjang belum upaya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi hakikatnya mereka (pemimpin) hidup dengan kaya raya. Harta menimbun di dalam dan luar negara. Ben Ali dikhabarkan semasa meninggalkan negaranya turut membawa bersama jongkong-jongkong emas.
Atau kerana ingin mempertahankan ideologi masing-masing agar terus subur di tanah air yang diperjuangkan menerusi parti masing-masing tanpa dapat diganggu oleh perti lain yang membawa ideologi berbeza? Pertembungan isme-isme sememangnya lumrah, lebih-lebih lagi negara umat Islam. Pasti adanya pertembungan di antara Sosialis – Islam, Sekularisme – Islam, Nasionalisme – Islam dan sebagainya.
Mungkinkah merasakan bahawa mereka masih mendapat sokongan padu daripada rakyatnya walaupun sebahagian kota-kota besar telah di dalam negara telah berlakunya bantahan-bantahan dan demonstrasi di jalanan? Ya betul mereka memenangi pilihanraya, menang dengan keadaan pihak lawan dikenakan dengan pelbagai sekatan sedang ruang mereka pula terlalu selesa.
Ataukah dek kerana terlalu lama memerintah, sudah merasakan bahawa negara itu adalah milik peribadi mereka? Hasil negara menjadi hasil keluarga. Ibarat sudah duduk di sebuah rumah sewa selama 30 tahun, tiba-tiba tuan rumah halau atau ingin mengutip sewa. Pemerintahan yang penuh korupsi andai diambil alih oleh seteru, perkara utama yang menjadi kerisauan adalah pembongkaran penyelewengan-penyelewengan hasil tangan mereka selama ini. Mahukah sisa-sisa usia dihabiskan dengan turun naik mahkamah? Atau lebih malang meringkuk dalam sel tahanan. Maka tak hairanlah Muammar Gaddafi sanggup menembak rakyatnya bahkan mengugut untuk membakar seluruh Libya. Tindakan ganas yang tidak dilabel ganas, alih-alih Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi pulak kena cop pengganas sebab minta tentera alih muncung senapang dari rakyat kepada Gaddafi.
Apa yang menyedihkan sebenarnya ialah di mana contoh kepimpinan yang baik yang sepatutnya dijuarai oleh pemimpin-pemimpin negara Islam. Kembalikan semula ruh kepimpinan Nabi Muhammad SAW serta para Khulafa’ Ar-Rasyidin agar Islam hidup di kalangan Muslim dan non-Muslim. والله أعلم

0 pengkritik:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Apa sajalah, asalkan ilmu! Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template