04 April 2011

Manusia Tiada Kemanusiaan

"MURID AGAMA DIBELASAH GURU MENINGGAL", begitulah bunyinya tajuk berita di sebuah akhbar. Mula membaca tajuk, penulis menyangkakan murid sekolah menengah yang mati itu, rupa-rupanya sangkaan meleset apabila pembacaan berita diteruskan. Seorang murid tahun 1 yang baru berusia 7 tahun rupanya yang dibelasah itu. Anak yang baru mahu meningkat mumayyiz dan mengenal dunia, tiba-tiba menerima layanan yang sebegitu dahsyat. Lebih malang lagi apabila nasibnya itu diterima di sebuah institusi yang amat diharapkan dapat membantu membentuknya menjadi muslim sejati - SEKOLAH AGAMA!


Andai benar sekalipun murid tersebut bersalah terhadap dakwaan mencuri wang rakan bernilai RM7, adakah mati sebagai balasannya? Sudah tentu tidak, sama ada menurut undang-undang Islam atau sivil, bunuh bukan hukumannya. Lebih-lebih lagi si pelaku adalah kanak-kanak yang sedang melalui proses pembelajaran sama ada secara langsung atau pun tidak.

Siapakah penerima kesan akibat tindakan guru tersebut? Setakat ini ada permintaan untuk menutup sekolah tersebut juga permintaan agar pihak kementerian memantau SAR yang rata-rata tenaga pengajarnya dikatakan tidak memiliki kelayakan untuk mengajar dari sudut persijilan. Namun tindakan guru mengenakan hukuman sedemikian rupa apakah memerlukan sijil untuk menghindarinya? Sudah tentu tidak! Naluri kemanusiaan yang waras pasti akan menolak tindakan guru (warden) sekolah berkenaan. Sedangkan haiwan sendiri memiliki naluri kasih sayang sesama mereka, apatah lagi manusia yang kedudukannya lebih mulia berbanding haiwan.

Dunia hari ini semakin menakutkan. Tambah menakutkan apabila institusi-institusi yang diharapkan, menjadi pula sebahagian lorong-lorong ngeri yang penuh dengan kaki pukul, kaki pau, penyeluk saku, peragut bahkan pembunuh! Dan yang amat malang apabila turut terpalit adalah Islam itu sendiri.

1 pengkritik:

Tanpa Nama berkata...

mcmana la islam tidak dipandang serong...hmm!

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Apa sajalah, asalkan ilmu! Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template