03 Ogos 2011

Pemimpin dan Kepimpinan


Suatu hari Khalifah Umar Abdul Aziz berpidato di hadapan kaum muslimin. Sebagaimana biasa, pidato beliau sangat menarik dan memikat para pendengar. Bagaimana pun, pada kali ini, selain daripada kandungan pidatonya, gerak-geri Khalifah pun turut menjadi perhatian. Khalifah sering memegang dan mengibas-ngibaskan bajunya ketika berpidato, sesekali di sebelah kanan dan sesekali di sebelah kiri. Secara tidak langsung, orang ramai menyedari bahawa gerakan tangan Khalifah tidak ada kaitannya dengan kandungan pidato.


Setelah Khalifah turun daripada tempat berpidato, mereka saling bertanya dan akhirnya diketahui rahsianya. Dikatakan bahawa baju yang dipakai Khalifah baru saja dibasuh dan belum kering. Oleh kerana tiada baju lain, maka baju itu dipakainya juga. Sebab itulah beliau selalu menggerak-gerakkan bajunya ketika berpidato agar cepat kering.

Ketika Khalifah Umar sakit, pakaian yang dipakainya telah kotor. Muslimah Abdul Aziz, kakak Fatimah Abdul Malik datang menemui adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. “Fatimah, basuhlah pakaian Khalifah itu. Sebentar lagi orang ramai akan masuk menemuinya,” tegur Muslimah. “Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lagi kecuali yang dipakai itu,” jawab Fatimah.

Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia tertanya-tanya di mana letaknya istana Khalifah yang gah, sehinggalah orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di istana yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang lelaki sedang bergelumang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya.

Perempuan itu bertanya lagi dan ketika mengetahui bahawa perempuan yang ditanya adalah Fatimah iaitu isteri Khalifah, dia begitu terkejut sekali. Ini kerana tiada seorang permaisuri raja yang berkuasa memakai baju buruk seperti itu. Dia merasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai melayani, sehingga tamu itu merasa suka dan tenang hatinya.

“Mengapa puan tidak menutup diri daripada lelaki tukang keruk pasir itu?” tanya perempuan Mesir itu. “Tukang keruk pasir itulah Amirul Mukminin,” jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tamu itu terkejut dan beristighfar. Khalifah Umar tidak mempunyai pelayan kecuali seorang anak-anak lelaki. Dialah satu-satunya khadam dalam istana Umar. Fatimah memberinya makan kacang setiap hari sehingga si pelayan menjadi bosan. “Kacang..kacang…setiap hari kacang,” kata si pelayan merungut. “Inilah makanan tuanmu Amirul Mukminin, wahai anakanda,” kata Fatimah.

Diceritakan bahawa seorang lelaki dan isterinya di Syam telah merelakan anaknya ikut berperang di jalan Allah dan menemu syahid di medang perang. Beberapa masa kemudian dia melihat seorang lelaki dengan menunggang kuda menuju ke arahnya. Setelah diperhatikan, ternyata pemuda itu seiras anaknya yang telah meninggal dunia. “Hm, cuba awak lihat pemuda yang berkuda itu, seperti anak kita, kan?” kata lelaki itu kepada isterinya. “Semoga Allah merahmati engkau. Janganlah tertipu oleh syaitan. Anak kita sudah syahid, bagaimana bisa menunggang kuda seperti itu?” kata isterinya.

Kedua suami isteri itu terus mengamati penunggang kuda tersebut. Tiba-tiba, pemuda menunggang kuda itu telah berada di hadapannya. “Assalamualaikum.” kata penunggang kuda. “Wa'alikumussalam,” jawab kedua-dua suami isteri itu. Ternyata dia memang anaknya, maka terkejutlah kedua ibu bapa itu sambil segera memeluknya. Mereka gembira luar biasa bercampur hairan.

“Ayah, ibu tetap saja di situ,” kata pemuda itu. “Saya bukan seperti ayah dan ibu lagi, demikian juga ayah dan ibu bukan seperti saya. Saya datang pun bukan untuk pulang kepada ayah dan ibu,” Kedua ibu bapa faham akan maksud anaknya, mereka pun diam. Kemudian, anak itu menerangkan bahawa kedatangannya bukan sengaja.

“Sebenarnya, aku datang bukan untuk mengunjungi ayah dan ibu, tetapi hanya mengambil kesempatan saja dalam keperluan lain. Iaitu Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz telah wafat. Golongan syuhada minta izin kepada Allah untuk hadir dalam pengurusan janazahnya. Allah memperkenankan permintaan mereka dan saya termasuk di antaranya.”

Kemudian dia bertanya keadaan kedua ibu bapanya, menghormatinya dan menjanjikan kebaikan daripada Allah. Selain itu, dia turut mendoakan ke atas kedua ibu bapanya, memberi salam lalu pergi. Dengan itu penduduk kampung mengetahui bahawa khalifah mereka, Umar Abdul Aziz telah wafat.

0 pengkritik:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Apa sajalah, asalkan ilmu! Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template